Friday, May 14, 2010

Hak-Hak Pengguna




Pengguna ialah orang yang mendapatkan barangan atau perkhidmatan daripada pasaran sama ada untuk kegunaan diri sendiri atau keluarga. Sebagai pembeli dan pengguna barangan atau perkhidmatan, kita juga perlu mempunyai hak-hak tertentu yang perlu diketahui oleh pembekal atau penjual, iaitu:   

Mendapatkan perlindungan keselamatan 
Pengguna dilindungi daripada bahaya yang boleh mengancam nyawa dan keselamatan kita semasa menggunakan barangan atau perkhidmatan.

Mendapatkan maklumat
Pengguna dibekalkan dengan fakta atau maklumat berkaitan sesuatu barangan bagi memudahkan kita mendapatkan barangan atau perkhidmatan yang dikehendaki. 

Membuat pilihan 
Pengguna diberi kebebasan memilih dan menentukan barangan atau perkhidmatan yang diperlukan. Kita berhak dan bebas memilih barangan dan perkhidmatan yang dikehendaki mengikut cita rasa, keperluan, dan kemampuan kita sendiri. 

Menyuarakan pendapat 
Pengguna diberi peluang menyuarakan rasa tidak puas hati secara individu atau perwakilan terhadap kualiti barangan atau perkhidmatan yang telah dibeli. 

Mendapatkan keperluan asas 
Pengguna dibekalkan dengan barangan yang pelbagai dan secukupnya untuk keselesaan mereka memilih dan menggunakannya. Keperluan asas tersebut juga perlu mudahdiperoleh dengan harga berpatutan. Antara barangan dan perkhidmatan yang dimaksudkan ialah makanan, pakaian, tempat tinggal, perubatan, dan pendidikan. 

Mendapatkan ganti rugi 
Pengguna diberi ganti rugi atau pampasan sekiranya barangan yang dibeli dan perkhidmatan yang diperoleh tidak berkualiti, tidak memuaskan atau menyebabkan kerugian. 

Mendapatkan pendidikan pengguna 
Pengguna diberi pengetahuan dan kemahiran untuk bertindak sebagai pengguna yang baik. Pihak berkuasa, persatuan-persatuan pengguna, pengeluar atau agen barangan dan pengguna lain bertanggungjawab memberi pendidikan kepenggunaan kepada masyarakat. 

Menikmati alam sekitar yang sihat dan selamat 
Pengguna diberi hak untuk hidup dalam alam sekitar yang bersih untuk menjamin keselesaan dan kehidupan yang sihat. Alam sekitar yang tercemar membahayakan kesihatan manusia dan kehidupan yang lain. Pencemaran mungkin disebabkan oleh penimbunan sampah sarap, pencemaran air, penebangan hutan yang tidak terkawal dan penghakisan lapizan ozon. Pembekal barangan dan perkhidmatan perlu menghindari sikap memusnahkan alam sekitar untuk memperoleh keuntungan.

Thursday, May 13, 2010

Barangan Dan Alatan

Sebagai pengguna kita harus peka terhadap kualiti barangan atau peralatan yang hendak dibeli. Kita juga harus bersikap ingin tahu dan memastikan setiap barangan atau peralatan yang hendak dibeli berpatutan dengan harganya. Langkah ini penting bagi mengelakkan pembaziran.
Kita berhak mendapat maklumat secukupnya mengenai sesuatu barangan atau perkhidmatan yang hendak dibeli bagi menjamin keselamatan semasa menggunakannya. barangan ini termasuklah peralatan sukan, barangan elektrik, produk kesihatan, perkhidmatan di hotel dan sebagainya.
Semasa membeli barangan, alatan, dan mendapatkan perkhidmatan, antara langkah yang boleh diambil untuk mengelak kejadian yang tidak diingini ialah:
  1. Teliti dan baca label yang terdapat pada bungkusan produk. Pastikan produk itu tidak mengandungi bahan-bahan kimia yang membahayakan kesihatan.
  2. Jika terdapat bahan kimia yang berbahaya dan produk didapati tidak memberi kesan seperti yang dinyatakan pada labelnya, laporkan kepada pihak yang berkenaan seperti persatuan pengguna atau Tribunal Tuntutan Pengguna. 
  3. Pengguna perlu peka terhadap perkembangan semasa berkaitan hal-hal yang berlaku di sekitar kita. Ambil tahu mengenai bahan-bahan kimia dan produk yang boleh membahayakan kesihatan. Sebarkan maklumat tersebut kepada rakan-rakan yang mungkin tidak mengetahui perkara tersebut.
  4. Patuhi arahan yang terdapat pada label produk yang dibeli. Dapatkan maklumat yang lengkap dan terbaru mengenai sesuatu barangan sebelum membelinya.
  5. Jangan teragak-agak untuk bertanya kepada pekedai atau penjual yang menjual produk berkenaan jika kita ragu-ragu atau tidak pasti mengenai keterangan yang tertera.
  6. Jika kita masih kurang puas hati dengan penjelasan yang diberikan, jangan beli produk itu. Tukar kepada produk yang lebih meyakinkan kita. 
  7. Ketahui  hak kita sebagai pengguna untuk membuat pilihan dan mendapatkan makluamat secukupnya.  
  8. Simpan dokumen atau bukti pembelian untuk memudahkan kita membuat aduan.
Setiap aduan pengguna boleh dialamatkan kepada:  
Pengarah,
Bahagian Hal Ehwal Pengguna,
Kementerian Perdagangan Dalam
Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna,
Tingkat 32, Menara Payabumi,
Jalan Sultan Hishamuddin
50623, Kuala Lumpur.


Penyelewengan amalan perdagangan pula boleh dikemukakan ke alamat:
Peti Surat 8000, Kuala Lumpur.
Ibu Pejabat:
Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia,
Tingkat 16, Putra Palace,
1000, Jalan Putera,
50622 Kuala Lumpur.


                                    



                                                     

        KONSUMERISME

        Konsumerisme ialah 1 konsep berkaitan perlindungan hak dan kepentingan pengguna. Kita sebagai pengguna berhak mendapatkan barangan yang berkualiti dan selamat digunakan. Barangan dianggap berkualiti apabila menepati piawaian yang telah ditetapkan oleh suatu badan yang mengawal kepiawaian sesuatu barangan. Sebagai contoh, Institut Piawaian Negara (SIRIM) bertanggungjawab memberi kelulusan dan kepiawaian sesuatu barangan sebelum diedarkan kepada pengguna. Hal ini penting agar keselamatan pengguna barangan tersebut terjamin. Pengguna yang tidak mementingkan mutu barangan yang dibeli akan mengalami kerugian dan boleh membahayakan diri sendiri.