Thursday, May 13, 2010

Barangan Dan Alatan

Sebagai pengguna kita harus peka terhadap kualiti barangan atau peralatan yang hendak dibeli. Kita juga harus bersikap ingin tahu dan memastikan setiap barangan atau peralatan yang hendak dibeli berpatutan dengan harganya. Langkah ini penting bagi mengelakkan pembaziran.
Kita berhak mendapat maklumat secukupnya mengenai sesuatu barangan atau perkhidmatan yang hendak dibeli bagi menjamin keselamatan semasa menggunakannya. barangan ini termasuklah peralatan sukan, barangan elektrik, produk kesihatan, perkhidmatan di hotel dan sebagainya.
Semasa membeli barangan, alatan, dan mendapatkan perkhidmatan, antara langkah yang boleh diambil untuk mengelak kejadian yang tidak diingini ialah:
  1. Teliti dan baca label yang terdapat pada bungkusan produk. Pastikan produk itu tidak mengandungi bahan-bahan kimia yang membahayakan kesihatan.
  2. Jika terdapat bahan kimia yang berbahaya dan produk didapati tidak memberi kesan seperti yang dinyatakan pada labelnya, laporkan kepada pihak yang berkenaan seperti persatuan pengguna atau Tribunal Tuntutan Pengguna. 
  3. Pengguna perlu peka terhadap perkembangan semasa berkaitan hal-hal yang berlaku di sekitar kita. Ambil tahu mengenai bahan-bahan kimia dan produk yang boleh membahayakan kesihatan. Sebarkan maklumat tersebut kepada rakan-rakan yang mungkin tidak mengetahui perkara tersebut.
  4. Patuhi arahan yang terdapat pada label produk yang dibeli. Dapatkan maklumat yang lengkap dan terbaru mengenai sesuatu barangan sebelum membelinya.
  5. Jangan teragak-agak untuk bertanya kepada pekedai atau penjual yang menjual produk berkenaan jika kita ragu-ragu atau tidak pasti mengenai keterangan yang tertera.
  6. Jika kita masih kurang puas hati dengan penjelasan yang diberikan, jangan beli produk itu. Tukar kepada produk yang lebih meyakinkan kita. 
  7. Ketahui  hak kita sebagai pengguna untuk membuat pilihan dan mendapatkan makluamat secukupnya.  
  8. Simpan dokumen atau bukti pembelian untuk memudahkan kita membuat aduan.
Setiap aduan pengguna boleh dialamatkan kepada:  
Pengarah,
Bahagian Hal Ehwal Pengguna,
Kementerian Perdagangan Dalam
Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna,
Tingkat 32, Menara Payabumi,
Jalan Sultan Hishamuddin
50623, Kuala Lumpur.


Penyelewengan amalan perdagangan pula boleh dikemukakan ke alamat:
Peti Surat 8000, Kuala Lumpur.
Ibu Pejabat:
Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia,
Tingkat 16, Putra Palace,
1000, Jalan Putera,
50622 Kuala Lumpur.


                                    



                                                     

        No comments:

        Post a Comment